scholarly journals Strategi Imperialisme British dalam Dasar Desentralisasi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, 1927–1934

2021 ◽  
Vol 28 (1) ◽  
pp. 99-126
Author(s):  
Mohd Shazwan Mokhtar ◽  
Mohd Samsudin Mohd Samsudin ◽  
Suffian Mansor

Artikel ini menilai semula hujah pelaksanaan dasar desentralisasi British sebagai suatu usaha untuk mengembalikan kuasa Raja-Raja Melayu dalam Majlis Mesyuarat Negeri (MMN) di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB). Tumpuan diberikan pada fasa awal pelaksanaan dasar ini iaitu setelah Majlis Mesyuarat Persekutuan (MMP) distruktur semula pada tahun 1927 sehingga pelaksanaannya pada tahun 1934. Dalam tempoh tersebut, dasar desentralisasi NNMB telah melalui proses pembentukan ketika pentadbiran Laurence Guillemard dan Cecil Clementi selaku Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu. Proses ini membuktikan pengaruh dasar kesatuan empayar dari London sewaktu wujudnya strategi imperial yang tersirat untuk memusatkan pentadbiran Tanah Melayu kepada Pesuruhjaya Tinggi British. Walaupun kedudukan Raja-Raja Melayu dikembalikan dalam MMN, bidang kuasanya hanya terbatas dalam pentadbiran kewangan bagi jabatan perkhidmatan persekutuan yang ditetapkan. Hal ini demikian kerana MMP masih lagi mempunyai kuasa kawalan pentadbiran kewangan pada peringkat persekutuan. Justeru, apakah matlamat British yang sebenar dalam melaksanakan dasar desentralisasi di NNMB? Hasil kajian terhadap dokumen pentadbiran kolonial NNMB dan Pejabat Tanah Jajahan mendapati bahawa pelaksanaan dasar desentralisasi di NNMB merupakan strategi imperialisme British untuk membentuk Kesatuan Tanah Melayu di bawah kawalannya. Pentadbiran kolonial NNMB cuba digabungkan dengan Negeri-Negeri Selat serta Negeri- Negeri Melayu Tidak Bersekutu dan diletakkan di tangan Pesuruhjaya Tinggi British.

Sign in / Sign up

Export Citation Format

Share Document