scholarly journals Tahap Pemahaman Guru Matematik Melaksanakan Pengajaran Atas Talian

Author(s):  
Ahmad Mustafa Mahmud ◽  
Muhammad Sofwan Mahmud

Penularan virus Covid-19 telah mengakibatkan jutaan manusia terkorban. Sistem pendidikan di seluruh dunia termasuk Malaysia mengambil langkah melaksanakan pengajaran atas talian bagi mengelakkan risiko penularan virus Covid-19. Pelaksanaan pengajaran atas talian merupakan salah satu kaedah pengajaran yang memberi cabaran kepada para guru untuk dilaksanakan semasa pandemik Covid-19. Justeru, sebuah kajian tinjauan telah dilaksanakan untuk mengkaji tahap pemahaman guru matematik melaksanakan pengajaran atas talian. Seramai 187 orang guru matematik di Negeri Sembilan telah dipilih sebagai sampel dalam kajian ini menggunakan teknik pensampelan rawak mudah. Kesemua responden yang terlibat menjawab soal selidik secara atas talian dengan menggunakan Google Forms bagi mengumpulkan data yang diperlukan dalam kajian. Secara keseluruhannya, dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap pemahaman guru dalam melaksanakan pengajaran atas talian berada pada tahap sederhana dengan min keseluruhan ialah 3.46 dan sisihan piawai 0.424. Selain itu, faktor kesediaan, penerimaan dan pengoperasian mempunyai hubungan linear yang sederhana dan signifikan ke atas pemahaman guru matematik melaksanakan pengajaran atas talian. Kesimpulannya, guru matematik menunjukkan tahap pemahaman yang sederhana dalam melaksanakan pengajaran atas talian. Namun begitu, guru matematik berusaha untuk melaksanakan kaedah pengajaran atas talian semasa pandemik Covid-19 bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran tetap berlangsung.

Sign in / Sign up

Export Citation Format

Share Document