Jurnal Peradaban Melayu
Latest Publications


TOTAL DOCUMENTS

18
(FIVE YEARS 6)

H-INDEX

0
(FIVE YEARS 0)

Published By Universiti Pendidikan Sultan Idris

1675-4271

2020 ◽  
Vol 15 ◽  
pp. 53-58
Author(s):  
Ahmad Nabil Amir

Makalah ini membincangkan pemikiran dan penulisan-penulisan Pendeta Za ‘ba (16 September 1895-23 Ogos 1973) yang berpengaruh yang ditinggalkannya dari warisan pemikiran dan bekas-bekas perjuangan intelektualnya yang bersejarah. Ini diangkat dan dirumuskan daripada pergerakan dan usahanya dalam mengangkat darjat bangsa Melayu. Makalah ini bersifat deskriptif, analitis dan historis. Di samping itu, makalah ini meninjau legasi dan warisan intelektual yang ditinggalkan Za‘ba dan menggarap aspirasi perjuangan dan keyakinan intelek yang tinggi yang dibawanya dan pembaharuan yang berpengaruh yang dimanfaatkannya untuk mengangkat dan membangkitkan kesedaran orang Melayu. Kajian merumuskan bahawa kecekalan dan kesungguhan Za’ba berhasil menggembleng harakat perubahan dan ijtihad dan meniupkan kesedaran nasionalisme dalam kalangan bangsa Melayu.


2020 ◽  
Vol 15 ◽  
pp. 59-68
Author(s):  
Saripah Dora Ismail ◽  
Azhar Wahid

Kajian berkaitan Tahap Kebolehan Pelajar Mendefinisikan Patriotisme melalui Pengajaran Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa ini bertujuan menilai kebolehan pelajar mendefinisikan patriotisme dengan tepat melalui pengajaran novel Leftenan Adnan Wira Bangsa yang menjadi teks kajian novel pelajar tingkatan empat. Kajian ini dibuat melalui penilaian di dalam kelas. Kajian ini juga bertujuan menguji Teori Teksdealisme terhadap novel yang dikaji. Reka bentuk kuantitatif digunakan untuk mendapatkan data penilaian berstruktur di dalam kelas. Instrumen kajian digunakan iaitu teks novel yang dikaji, set soalan dan rekod anekdot yang telah disemak oleh pakar untuk tujuan kesahan serta kebolehpercayaan. Pemilihan subjek kajian dijalankan secara persampelan kebarangkalian melibatkan 35 orang responden yang terdiri daripada pelajar tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Sentosa, Selangor. Penilaian pra dan pasca pengajaran yang dibuat adalah berdasarkan Model Penilaian Formatif Tessmer (1993). Data kajian dianalisis dengan menggunakan analisis teks anekdot yang dijalankan semasa penilaian pra dan pasca dilakukan. Dapatan kajian menunjukkan pelajar mampu mendefinisikan ‘patriotisme’ dengan lebih tepat setelah mempelajari novel ini. Kesimpulannya, novel Leftenan Adnan Wira Bangsa merupakan sebuah novel yang dikarang oleh penulis yang ideal kerana mempunyai banyak unsur patriotisme dan mampu melahirkan pelajar yang boleh menjelaskan makna patriostisme dengan tepat. Implikasi kajian menunjukkan bahawa penggunaan novel ini dapat menjadikan proses menyemai rasa patriotik dalam diri pelajar selaku pembaca menjadi lebih pantas serta relevan.


2020 ◽  
Vol 15 ◽  
pp. 22-37
Author(s):  
Tengku Intan Maslina Tengku Mohd Ali ◽  
Madiawati Mamat@Mustafa ◽  
Rohayati Junaidi
Keyword(s):  

Cerita kanak-kanak dalam penerbitan sastera kanak-kanak semakin berkembang pesat seiring dengan perubahan zaman dan kepesatan dunia dalam arus teknologi maklumat. Perkembangan pesat teknologi turut memberi kesan positif terhadap perubahan reka bentuk (design) kulit buku dalam penerbitan sastera kanak-kanak pada masa kini. Reka bentuk kulit buku kanak-kanak dihubungkan dengan konsep kearifan tempatan. Oleh hal yang demikian, makalah ini bertujuan untuk mengkaji sejauh manakah reka bentuk kulit buku sastera kanak-kanak di Malaysia menerapkan ciri-ciri kearifan tempatan? Kearifan tempatan merangkumi adat budaya, agama dan kepercayaan, cara hidup dan ilmu pengetahuan yang menjadi pegangan dari zaman berzaman dan identiti sesebuah masyarakat. Bahan kajian ini menggunakan reka bentuk kulit buku siri Young Aisyah dan Penulis Tunas Super yang diterbitkan oleh PTS Publishing House Sdn. Bhd. Justifikasi pemilihan ini kerana Syarikat PTS antara syarikat yang aktif menerbitkan buku sastera kanak-kanak di Malaysia. Kajian ini menggunakan konsep kearifan tempatan yang dikemukakan oleh Geertz (1973), Hiwasaki et al. (2014), Suraya Sintang, Khadijah Mohd Hambali @ Khambali (2015) dan The Center of Folklore Research (2007). Kaedah yang digunakan dalam kajian ini ialah kaedah perpustakaan dan analisis teks. Dapatan kajian memperlihatkan reka bentuk kulit buku sastera kanak-kanak terbitan Syarikat PTS masih mempunyai ciri-ciri kearifan tempatan walaupun tidak secara keseluruhannya. Kesimpulannya, reka bentuk kulit buku cerita kanak-kanak dapat menjadi medium untuk memperkenalkan dan mengangkat kearifan tempatan yang menjadi identiti dan kemegahan bangsa.


2020 ◽  
Vol 15 ◽  
pp. 38-52
Author(s):  
Norsaliza Mohd Shuhaini ◽  
Azhar Wahid
Keyword(s):  

Alam pembelajaran kanak-kanak bermula dengan tercetusnya satu pengalaman. Membesar dalam kemajuan pembangunan teknologi dan perisian evolusi abad ke 21 mencabar proses perkembangan intelek kanak-kanak. Intelligent Quotient (IQ), iaitu kecerdasan akal semata-mata tidak menjanjikan keseimbangan dan kejayaan dalam pengurusan kehidupan Kekaguman dan ketinggian intelek yang terkandung di dalamnya mempamerkan kerelevanan dalam upayanya mengendalikan daya intelek dan imaginasi kanak-kanak. Terdahulu, kanak-kanak leka dengan sastera lisannya tetapi gaya hidup kini mengubah kehidupan semula jadi kanak-kanak melalui ledakan informasi pembangunan teknologi yang berupaya mempengaruhi minda kanak-kanak dengan maklumat kurang tepat dan mengelirukan. Dengan menggunakan bahan tontonan kartun animasi Upin dan Ipin, objektif kajian ini dijalankan adalah untuk menganalisis bagaimana kanak-kanak menguruskan daya intelek dalam episod “Cari dan Simpan”. Kajian ini dijalankan dengan menggunakan Prinsip Kepimpinan yang terkandung dalam Pendekatan Pengurusan (Mohammad Mokhtar Abu Hassan, 2013). Pemaparan episod Upin dan Ipin ini memperlihatkan pengurusan daya intelek dan rangsangan imaginasi kanak-kanak dalam menguruskan kehidupan tanpa sengaja, tiada paksaan dan tiada kekasaran yang hanya akan menghentikan proses pembelajaran kanak-kanak. Hasil daripada kajian ini menjelaskan dalam proses kanak-kanak mencari logik, mereka banyak menggunakan daya intelek dan rangsangan imaginasi bagi membentuk realiti dalam kehidupan dengan memikirkan cara menyelesaikan masalah yang dihadapi. Selain itu, dapatan kajian ini juga dapat memberikan sumbangan dari segi penambahan kajian-kajian berkaitan dengan pengurusan kehidupan kanak-kanak.


2020 ◽  
Vol 15 ◽  
pp. 10-21
Author(s):  
Afidatul Syazwani Afandi ◽  
Norazimah Zakaria ◽  
Abdul Halim Ali

Magis atau unsur luar biasa sering kali ditemui dalam kebanyakan teks hikayat yang mempunyai pengaruh Hindu-Islam. Pemaparan unsur ini dianggap penting oleh pengarang tradisi untuk dijadikan intipati kepada struktur teks klasik. Kehebatan pengarang tradisi mencakna mesej kepada khalayak melalui bauran peristiwa yang luar biasa ini membawa implikasi yang besar kepada khalayak dan meransang beberapa kesan emosi tertentu. Salah satu daripada emosi ini ialah emosi hairan yang membangkitkan rasa takjub dan kagum. Objektif kajian ini adalah untuk melihat hubung kait emosi hairan dan aspek kelegaan jiwa yang akan dikupas berdasarkan teks pilihan ini. Kaedah yang digunakan dalam kajian ini bersifat kualitatif di bawah analisis deskriptif berpusatkan teks. Huraian data dan maklumat daripada kaedah analisis tekstual ini akan dibahagikan kepada analisis yang bersifat struktural yang melihat struktur ayat dan pengolahan gaya bahasa yang berupaya mewujudkan emosi hairan dan rasa takjub serta analisis yang bersifat teoritikal yang melihat aspek emosi ini daripada perspektif rasa fenomenologi sekali gus mengaitkan emosi hairan dan kesan rasa takjub ini dengan aspek kelegaan jiwa. Hasil analisis mendapati, sememangnya terdapat beberapa peristiwa di dalam teks Hikayat Marakarmah yang meransang emosi hairan dan rasa takjub serta berupaya memberikan kesan kelegaan jiwa kepada khalayak. Implikasi daripada kajian ini merumuskan emosi hairan yang menerbitkn rasa kagum khalayak kepada kebanyakan peristiwa magis yang terdapat dalam teks Hikayat Marakarmah ini menimbulkan kesan rasa lega sekali gus membuktikan kehebatan pengarang tradisi mengadun aspek estetika dan mesej yang hendak disampaikan secara tersirat.


2020 ◽  
Vol 15 ◽  
pp. 1-9
Author(s):  
Nur Nadia Lukmanulhakim

Identiti nasional merupakan komponen penting dalam memupuk perpaduan antara rakyat berbilang kaum di Malaysia. Kajian ini dijalankan bertujuan untuk meneliti kaedah pembentukan identiti nasional di peringkat universiti awam di Malaysia. Sebuah universiti awam telah dipilih daripada 20 buah universiti awam di Malaysia sebagai tempat kajian iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris. Kajian dijalankan melalui kaedah kualitatif dengan temu bual ke atas lima orang pegawai Hal Ehwal Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris. Dapatan yang diperoleh menunjukkan kaedah pembentukan identiti nasional di universiti awam mencakupi aktiviti akademik, kokurikulum serta sahsiah. Implementasi kaedah pembentukan identiti nasional ini pula mencakupi pelbagai bahagian dalam universiti, melalui program serta kerjasama antara bahagian juga dengan institusi luar. Penambahbaikan ke atas kaedah sedia ada boleh dilakukan dengan mengambil kira keperluan mahasiswa universiti yang terdiri daripada pelbagai budaya.


2019 ◽  
Vol 14 ◽  
pp. 35-48
Author(s):  
Fathin Noor Ain Ramli ◽  
Azhar Wahid
Keyword(s):  

Penulisan makalah ini bertujuan memperlihatkan penggunaan prinsip pengurusan untuk mengetahui prinsip yang terdapat dalam pengurusan identiti bangsa yang berasaskan daripada penyelidikan Pengurusan Identiti Bangsa dalam Trilogi Karya Hamka. Antara objektif kajian ialah mengenalpasti pengurusan identiti bangsa Melayu dan melihat kesesuaian Teori Teksdealisme dalam menganalisis pengurusan identiti bangsa yang terdapat dalam trilogi novel Hamka iaitu Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Merantau Ke Deli dan Di Bawah Lindungan Ka’bah. Penelitian yang berbentuk tekstualiti ini adalah penelitian yang berasaskan kajian kualitatif. Teori Teksdealisme telah dijadikan sebagai landasan utama dan digabungkan bersama 14 Prinsip Asas Pengurusan oleh Henry Fayol. Empat prinsip Teori Teksdealisme iaitu prinsip kehadiran, prinsip pelanggaran, prinsip pengukuhan dan individualisme diaplikasikan bagi melihat proses pembentukan identiti bangsa dalam novel tersebut. Manakala 14 Prinsip Asas Pengurusan oleh Henry Fayol dijadikan teori sokongan untuk menganalisis pembentukan identiti bangsa Melayu. Kajian ini merupakan kajian kualitatif yang menggunakan kaedah kepustakaan dan kaedah analisis teks kandungan (content analysis). Kaedah ini akan mengumpul dan menganalisis data daripada tiga buah novel karya Hamka iaitu Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Merantau ke Deli dan Di Bawah Lindungan Ka’bah. Watak dan perwatakan tonggak utama diteliti dalam merungkai pengurusan identiti yang telah diketengahkan oleh Hamka. Kajian ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada golongan sastera terutamanya golongan-golongan yang terlibat dalam aspek pengurusan sastera. Mereka bukan sahaja memerlukan pengetahuan dalam bidang kesusasteraan semata-mata, tetapi juga pengetahuan yang mendalam dalam bidang pengurusan untuk mencapai objektif penubuhan masing-masing.


2019 ◽  
Vol 14 ◽  
pp. 22-34
Author(s):  
Cynthia Layah Geraman ◽  
Azhar Wahid

Kajian ini bertujuan untuk meneliti peranan prinsip pembelajaran mentalis dalam pengajaran dan pembelajaran teks Kesusasteraan Melayu sekolah menengah. Kajian dijalankan secara kualititatif di tiga buah sekolah menengah di sekitar Kuching, Sarawak, melibatkan kaedah soal selidik. Data dianalisis menggunakan perisian kualititatif skala likert dan juga Cohen’s Kappa. Hasil kajian menunjukkan bahawa prinsip pembelajaran mentalis ini memberi kesan dalam pengajaran dan pembelajaran guru yang mengajar Kesusasteraan Melayu malah dapat mempengaruhi karakter pelajar agar berfikir secara kritis. Dapatan kajian mendapati bahawa pelajar Kesusasteraan Melayu dapat memahami perkara yang dipelajari oleh mereka semasa pembelajaran di dalam kelas dengan mengaplikasikan prinsip pembelajaran mentalis dalam Kesusasteraan Melayu. Implikasi kajian ini adalah penting untuk mengetahui sejauh mana prinsip pembelajaran mentalis ini dapat mempengaruhi pelajar untuk mempelajari Kesusasteraan Melayu malah memberi gambaran akan kepentingan dalam mempelajari Kesusasteraan Melayu.


2019 ◽  
Vol 14 ◽  
pp. 12-21
Author(s):  
Zuraini Ramli

Keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu telah terbukti sejak sekian lama dan tidak perlu diragui lagi. Makalah ini meneliti peranan dan kedudukan bahasa Melayu dalam bidang pendidikan, pada ketika Malaysia melaksanakan dasar bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar untuk mata pelajaran Sains dan Matematik. Kajian dijalankan secara kualitatif di dua buah sekolah menengah di negeri Melaka, melibatkan kaedah rakaman video dalam kelas, temu bual separa berstruktur dengan guru dan kumpulan pelajar terpilih, serta pemerhatian dalam kelas. Data dianalisis menggunakan perisian penganalisis kualitatif data Transana, melalui prosedur pengekodan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa bahasa Melayu digunakan dalam majoriti aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dirakam, melibatkan interaksi formal dan tidak formal guru dan pelajar. Bahasa Inggeris pula, hanya digunakan dalam perbualan formal, apabila disertai oleh bahan-bahan sokongan seperti buku teks, video, dan nota di papan putih sahaja. Keterhadan penggunaan bahasa Inggeris menggambarkan bahawa bahasa tersebut tidak sesuai dijadikan bahasa pengantar dalam konteks pendidikan di sekolah di Malaysia. Dalam masa yang sama, bahasa Melayu dilihat berwibawa dan berkebolehan untuk mengungkapkan ilmu sains dan matematik, sama ada secara formal mahupun tidak formal.


2019 ◽  
Vol 14 ◽  
pp. 1-11
Author(s):  
Wan Noorlizawati Wan Mat Ali ◽  
Nazirah Lee ◽  
Ishak Saat

Makalah ini membincangkan kesedaran kebangsaan golongan rakyat di Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua khususnya dengan kemunculan PKMM. Mereka menjadi satu gerakan yang dinamik dan tidak tertakluk kepada kerangka politik Melayu tradisional. PKMM dianggap sebagai golongan radikal dalam politik Tanah Melayu. Dengan menggunakan kaedah perpustakaan maklumat berkenaan gerakan kiri dan faktor yang mempengaruhi gerakan kesedaran ini dicerap dari dokumen, buku, akhbar, majalah serta artikel yang berkaitan. Sumber-sumber ini dianalisis untuk menghasilkan artikel ini. Hasil kajian memperlihatkan golongan nasionalis kiri Melayu berjuang untuk membela nasib masyarakat Melayu yang semakin jauh ketinggalan berbanding golongan imigran dan secara terbuka menuntut kemerdekaan. Kesedaran golongan ini banyak dipengaruhi oleh semangat yang dicetuskan oleh negara luar seperti India, Timur Tengah dan juga Indonesia di samping peranan akhbar. Secara ringkasnya pengaruh luar melahirkan kesedaran dalam kalangan masyarakat Melayu bahawa rakyat mempunyai kuasa dalam sistem pemerintahan di tanah air sendiri.


Sign in / Sign up

Export Citation Format

Share Document