Kanun: Jurnal Undang-undang Malaysia
Latest Publications


TOTAL DOCUMENTS

37
(FIVE YEARS 37)

H-INDEX

1
(FIVE YEARS 1)

Published By Dewan Bahasa Dan Pustaka

0128-2670, 2682-8057

2022 ◽  
Vol 34 (1) ◽  
pp. 23-44
Author(s):  
Muhammad Farahin ◽  
Mohd Zamro Muda
Keyword(s):  

Peruntukan undang-undang keluarga Islam menyebut apa-apa aset yang diperoleh dalam tempoh perkahwinan boleh dituntut sebagai harta sepencarian. Namun begitu, status hak cipta sebagai harta sepencarian masih menjadi perdebatan. Oleh itu, objektif kajian bertujuan mengenal pasti konsep hak cipta sebagai harta sepencarian menurut perspektif perundangan syariah dan menganalisis status hak cipta sebagai harta sepencarian menurut pendapat ahli dan pengamal perundangan syariah. Reka bentuk kajian adalah secara kualitatif, iaitu analisis dokumen dan temu bual separa berstruktur. Data diperoleh melalui statut hak cipta dan harta sepencarian di Malaysia, fiqh empat mazhab sunni serta temu bual bersama-sama pengamal perundangan syariah, ahli hak cipta dan ahli agamawan. Dapatan kajian mendapati Islam mengiktiraf status hak cipta dalam harta sepencarian. Hak cipta juga termasuk dalam kategori harta tidak ketara yang boleh dituntut sebagai harta sepencarian jika dimiliki dalam tempoh perkahwinan atau dikembangkan dalam tempoh perkahwinan dengan melihat pada faktor sumbangan pihak suami dan isteri dalam perolehan harta tersebut. Hasil temu bual mendapati para informan menyokong teori hak cipta sebagai harta sepencarian. Implikasi kajian ini memberikan sumbangan dalam kajian ilmu syariah dan boleh dirujuk oleh mahkamah syariah dan sivil untuk menangani masalah hak cipta sebagai harta sepencarian. Kajian juga mencadangkan penggubalan undang-undang berkaitan dengan hak cipta dan harta sepencarian berkenaan harta yang boleh dituntut sebagai harta sepencarian.


2022 ◽  
Vol 34 (1) ◽  
pp. 113-140
Author(s):  
Rohaida Nordin ◽  
Nur Insyirah Jasri

Hak kesamarataan terhadap warganegara atas alasan jantina telah dijamin di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Perseketuan dan triti hak asasi manusia antarabangsa. Walaupun hak kesamarataan mereka telah dijamin, golongan transgender mendakwa mereka masih menerima diskriminasi dan layanan tidak sama rata terutamanya ketika mendapatkan rawatan kesihatan. Oleh itu, objektif kajian ini adalah untuk melihat sejauh mana kewujudan undang-undang domestik dan perjanjian antarabangsa yang telah meletakkan piawaian tertinggi mengenai layanan terhadap individu yang mempunyai kecelaruan identiti jantina atau transgender diaplikasikan di Malaysia. Kaedah yang digunakan dalam menyelesaikan kajian ini adalah melalui rujukan dan juga temu bual. Dalam kajian ini, pengkaji berjaya melihat bahawa hak kesamarataan yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan adalah tidak mutlak dan tertakluk pada undang-undang lain yang berkaitan. Penyelidik juga berjaya mengenal pasti beberapa alternatif yang boleh digunakan agar permasalahan berkaitan diskriminasi terhadap golongan transgender ini dapat diselesaikan, iaitu dengan penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas dan penetapan suatu tindakan yang lebih berat oleh kerajaan Malaysia terhadap pengamal kesihatan apabila berlaku diskriminasi terhadap golongan transgender.


2022 ◽  
Vol 34 (1) ◽  
pp. 97-112
Author(s):  
Noraida Harun ◽  
Noor 'Ashikin Hamid ◽  
Asiah Bidin ◽  
Kamaliah Salleh
Keyword(s):  

Artikel ini ditulis untuk mengkaji isu penipuan tanah yang berlaku dalam urus niaga tanah di Malaysia. Pelbagai modus operandi telah dilakukan oleh penjenayah untuk melakukan penipuan. Dengan modus operandi ini, pihak pejabat tanah telah berjaya diperdaya sehingga menyebabkan berlakunya penipuan dalam urus niaga tanah. Perkara ini telah menimbulkan rasa kebimbangan kepada orang awam tentang jaminan ketuanpunyaan yang merupakan bukti muktamad pemilikan terhadap tanah apabila pendaftaran dilakukan dan juga pemilikan tanah yang ditadbir menurut perundangan Kanun Tanah Negara (KTN). Kajian yang dilakukan berdasarkan kaedah analisis kes yang telah diputuskan oleh mahkamah. Hasil kajian mendapati pelbagai modus operandi (MO) telah dilakukan oleh penipu dan pelbagai faktor yang mendorong perbuatan penipuan ini. Penulisan ini turut mengutarakan beberapa cadangan penambahbaikan bagi mengekang cubaan penipuan dalam urus niaga tanah.


2022 ◽  
Vol 34 (1) ◽  
pp. 75-96
Author(s):  
Nur Khalidah Dahlan ◽  
Nurdiana Rosmin
Keyword(s):  

Penjualan barang tiruan merupakan suatu tindakan yang menyalahi undang-undang apabila peniaga meletakkan cap dagangan pengeluar asal pada barangan yang bukan asli. Tindakan ini sering kali dibawa dan dikemukakan di mahkamah mengikut Akta Hak Cipta 1987, Akta Cap Dagangan 1976 dan Akta Perihal Dagangan. Walau bagaimanapun, meskipun terdapat pelbagai penguatkuasaan undang-undang untuk memastikan kegiatan ini dapat dihapuskan, masih banyak kes yang melibatkan penjualan barangan tiruan berlaku yang merugikan masyarakat. Melalui kajian ini, kerangka perundangan yang tertentu telah dikenal pasti dapat membendung hal ini daripada berlaku. Perbandingan penguatkuasaan undang-undang antara negara Malaysia dan negara United Kingdom, serta cadangan penambahbaikan juga turut telah dibincangkan dalam artikel ini. Hasil kajian mendapati penguatkuasaan yang sedia ada sudah cukup berkesan. Namun begitu, sekiranya ditambah baik dengan mewujudkan akta yang komprehensif, mencontohi sistem penyelesaian di United Kingdom yang menawarkan nasihat dan penyelesaian paling sesuai kepada pengadu secara dalam talian, usaha ini akan dapat mengurangkan bilangan kes penjualan barang tiruan di Malaysia dengan lebih berkesan.


2022 ◽  
Vol 34 (1) ◽  
pp. 45-74
Author(s):  
Zulzaidi Mahmod ◽  
Ahmad Hidayat Buang

Implimentasi teknologi maklumat dalam institusi kehakiman syariah disambut baik oleh semua mahkamah syariah negeri di Malaysia melalui aplikasi sistem e-Syariah. Inovasi dan transformasi teknologi elektronik ini diteruskan oleh sebahagian mahkamah syariah termasuk mahkamah syariah di Sarawak yang membangunkan sistem baharu yang dinamakan i-Syariah, iaitu Sistem Pengurusan Pintar Syariah. Artikel ini bertujuan menganalisis pembangunan sistem Pengurusan Mahkamah Syariah melalui sistem e-Syariah pada peringkat Persekutuan dan i-Syariah yang diaplikasikan di Sarawak. Penelitian juga dilakukan terhadap modul yang dibangunkan dalam sistem e-Syariah dan i-Syariah bagi dapatan maklumat penyelidikan yang menyeluruh. Metodologi penyelidikan dilakukan secara kualitatif terhadap perkembangan pembangunan sistem e-Syariah dan sistem i-Syariah serta melaksanakan metode komparatif dengan membandingkan sistem yang diguna pakai di mahkamah sivil dengan kandungan sistem yang diaplikasikan di institusi kehakiman syariah. Penyelidikan ini mendapati bahawa transformasi teknologi elektronik mahkamah syariah kurang menunjukkan perkembangan berbanding mahkamah sivil yang telah mengaplikasi e-Filing system (EFS), Case Management System (CMS), Queue Management System (QMS), Court Recording and Transcribing (CRT), Artificial Intelligence (AI) dan Community and Advocate Portal System (CAP). Walau bagaimanapun berdasarkan pelan pembangunan i-Syariah maka sistem-sistem yang diguna pakai pada peringkat mahkamah sivil ini akan diimplimentasikan di mahkamah syariah Sarawak untuk memastikan transformasi informasi teknologi maklumat seiring dengan perkembangan teknologi digital di Sarawak.


2022 ◽  
Vol 34 (1) ◽  
pp. 141-166
Author(s):  
Ahmad Haziq Haikal Kamal ◽  
Miszairi Sitiris

Artikel ini meninjau amalan masyarakat Melayu dalam perkahwinan berkaitan dengan pemberian mas kahwin dan wang hantaran yang diberikan oleh suami kepada isterinya. Menurut kebiasaan dalam majlis akad nikah di kebanyakan negeri kadar mas kahwin disebutkan ketika ijab dan kabul, tetapi tidak disebutkan jumlah wang hantaran, walaupun kedua-duanya dicatatkan dalam sijil pernikahan. Pemberian wang hantaran di samping mas kahwin dilihat sebagai dua elemen yang sama dan berbentuk wang, namun berbeza dari sudut penamaannya. Mas kahwin yang wajib diberikan oleh suami kepada isteri adalah bersandarkan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Pemberian wang hantaran pula merupakan adat dan uruf yang diamalkan oleh masyarakat Melayu semasa perkahwinan. Perbezaan pada sebutan nama menimbulkan persoalan tentang kedudukan dan fungsi sebenar wang hantaran serta kesan hukum terhadap hak dan pemilikannya. Oleh itu, artikel ini bertujuan untuk mengenal pasti dan membincangkan hukum dan kedudukan kedua-dua pemberian tersebut menurut fiqah dan Undang-Undang Keluarga Islam. Artikel ini memaparkan kajian kepustakaan dengan merujuk penulisan ulama fiqah muktabar dan kajian teks terhadap peruntukan undang-undang yang berkaitan dengan tajuk yang dibincangkan. Hasil kajian mendapati bahawa kurangnya kefahaman dalam memahami hukum mas kahwin dan wang hantaran serta ketidakseragaman rekod butiran perkahwinan dalam sijil nikah membawa kepada salah faham dalam kalangan masyarakat sekali gus memberikan impak dan kesan terhadap hak dan pemilikan kedua-duanya.


2022 ◽  
Vol 34 (1) ◽  
pp. 1-22
Author(s):  
Hasiah Mat Salleh ◽  
Mohd. Norhusairi Mat Hussin ◽  
Raihanah Hj Abdullah

Warga emas adalah golongan rentan yang perlu dilindungi dan dibela berikutan jasa dan sumbangan mereka yang amat besar terhadap agama dan negara. Namun dewasa ini faktor urbanisasi, kerjaya dan pendidikan telah menjadikan golongan ini mula dipinggir dan diabaikan. Kes-kes penderaan juga sering dipaparkan dimedia massa mahupun media cetak berikutan peningkatan populasi warga emas Malaysia dan dunia. Kajian ini adalah bertujuan melihat perlindungan warga emas yang sedia ada dalam perundangan negara bagi meneliti sejauhmana hak-hak warga emas dilindungi. Kajian dilakukan menggunakan pendekatan kualitatif melalui kajian keperpustakaan dan dianalisis secara analisis kandungan. Hasil kajian menunjukkan perundangan yang ada telah melindungi hak-hak warga emas secara umum namun masih belum menyeluruh dalam memenuhi keperluan hak-hak warga emas. Oleh yang demikian adalah perlu suatu pindaan kepada perundangan sedia ada atau penggubalan perundangan khusus untuk warga emas dilakukan bagi memenuhi keperluan tersebut.


2021 ◽  
Vol 33 (2) ◽  
pp. 219-238
Author(s):  
Haliza A. Shukor ◽  

Undang-undang persaingan telah diperkenalkan di Malaysia sejak tahun 1990-an, namun pada masa itu tidak ada undang-undang khusus mengenai persaingan. Peruntukan berkaitan dengan persaingan terkandung dalam undang-undang yang pelbagai seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Suruhanjaya Tenaga 2001. Kerajaan akhirnya mengambil inisiatif untuk memperkenalkan undang-undang khusus mengenai persaingan, yang dikenali sebagai Akta Persaingan 2010 untuk menunjukkan integriti dan komitmen Malaysia terhadap semangat integrasi pasaran di rantau ASEAN. Sejak itu, Malaysia telah mengalami perkembangan undang-undang persaingan, terutamanya berkaitan dengan pelaksanaan undang-undang tersebut dalam pelbagai sektor komersil termasuk harta intelek. Selepas sembilan tahun Akta Persaingan 2010 diwujudkan, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah mengeluarkan garis panduan khusus mengenai harta intelek sebagai maklum balas terhadap keperluan komersil semasa dan memenuhi aspirasi yang dinyatakan dalam Garis Panduan Bab 1 Larangan (Perjanjian Anti-Persaingan). Oleh itu, artikel ini bertujuan untuk mengenal pasti dan membincangkan perkembangan undang-undang persaingan di Malaysia berkaitan dengan harta intelek. Artikel ini memaparkan kajian kepustakaan yang menggunakan sumber primer dan sekunder untuk perolehan data. Hasil kajian menunjukkan bahawa walaupun MyCC telah mengeluarkan garis panduan khusus berkaitan dengan harta intelek (Garis Panduan Hak Harta Intelek dan Undang-Undang Persaingan) untuk menyelesaikan isu berkaitan dengan harta intelek, namun beberapa penambahbaikan perlu dibuat agar pelaksanaannya dapat dijalankan secara berkesan.


2021 ◽  
Vol 33 (2) ◽  
pp. 203-218
Author(s):  
Wan Siti Adibah Wan Dahalan ◽  

Selat Melaka merupakan selat yang terletak di antara tiga buah negara, iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia. Selat tersebut berfungsi sebagai laluan terpenting bagi beratus-ratus kapal untuk melakukan pelbagai aktiviti bersifat antarabangsa terutamanya bagi tujuan perdagangan. Hal ini secara tidak langsung menyumbang kepada kesesakan trafik yang amat tinggi, meningkatkan risiko berlakunya perlanggaran dan pertembungan antara kapal yang mengundang tumpahan minyak yang akan menjejaskan biosistem laut. Sungguhpun Bahagian III dan Bahagian XII Konvensyen Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS) diguna pakai untuk mengawal selia isu ini, Fasal 233 secara khususnya menjadi tajuk perbincangan bagi mengenal pasti sejauh mana langkah penguatkuasaan dapat diambil terhadap kapal-kapal yang berbuat kerosakan. Oleh itu, artikel ini mengenal pasti konsep dan definisi Fasal 233 dan keterpakaiannya dalam membendung pencemaran laut di Selat Melaka. Artikel ini turut menganalisis pelaksanaan Fasal 233 yang telah dilakukan oleh Negara-negara Selat serta pemakaian peruntukan UNCLOS 1982 yang lain dalam menguatkuasakan undang-undang di Selat Melaka. Artikel ini turut mengemukakan beberapa cadangan bagi sebarang penambahbaikan terhadap isu pencemaran laut dan kewajipan Negara-negara Selat untuk menangani masalah yang berlaku.


2021 ◽  
Vol 33 (2) ◽  
pp. 269-286
Author(s):  
Mohd. Kamel Mat Salleh ◽  
◽  
Adibah Bahori ◽  
Muhammad Firdaus A bdul Manaf ◽  
Nursafra Mohd. Zhaffar ◽  
...  

Pandemik COVID-19 telah mewujudkan landskap dan norma baharu dalam kehidupan masyarakat Malaysia, termasuk yang berkaitan dengan amalan keagamaan orang Islam. Pandemik ini melibatkan penangguhan pelaksanaan solat Jumaat, solat berjemaah di masjid serta surau seluruh Malaysia serta hukum syarak yang lain. Keputusan ini selaras dengan pandangan hukum yang diputuskan oleh Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) yang diurusetiakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang kemudiannya difatwakan pada peringkat negeri. Carta alir pengeluaran fatwa ini membuka dimensi baharu kepada penyeragaman dan penyelarasan fatwa di Malaysia terhadap keputusan Jawatankuasa Muzakarah MKI yang mempunyai kepentingan nasional. Sedangkan selama ini terdapat kekangan yang menyebabkan fatwa sukar untuk diseragamkan dan diselaraskan atas kapasiti fatwa ialah hak eksklusif negeri. Kajian ini dijalankan untuk menjawab persoalan adakah benar fatwa itu sukar untuk diselaraskan di Malaysia sedangkan undang-undang negeri memperuntukkan bahawa penyelarasan boleh berlaku melalui Jawatankuasa Muzakarah MKI dan isu yang melibatkan kepentingan nasional. Kajian berbentuk kualitatif ini menggunakan kaedah analisis kandungan dengan merujuk peruntukan undang-undang yang membolehkan penyelarasan dan penyeragaman berlaku. Kajian mendapati bahawa penyeragaman dan penyelarasan fatwa bukanlah suatu yang sukar dilaksanakan. Hukum Syarak berhubung dengan COVID-19 telah mencetuskan impak besar dan menjadi penanda aras kepada usaha penyelarasan dan penyeragaman fatwa di Malaysia.


Sign in / Sign up

Export Citation Format

Share Document