Jurnal Bahasa
Latest Publications


TOTAL DOCUMENTS

43
(FIVE YEARS 43)

H-INDEX

0
(FIVE YEARS 0)

Published By Dewan Bahasa Dan Pustaka

1511-9084, 2462-1889

Jurnal Bahasa ◽  
2021 ◽  
Vol 21 (2) ◽  
pp. 241-272
Author(s):  
Salihah Ab Patah ◽  
Norliza Jamaluddin ◽  
Ng Chong Guan

Kajian ini meneliti fenomena kemurungan dalam kalangan pesakit MDD dari perspektif bahasa. Kajian kes yang menjadi reka bentuk kajian ini memfokuskan seorang pesakit MDD di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Kajian menggunakan Teori Metafora Konseptual (TMK) oleh Lakoff dan Johnson (1980), analisis metafora sistematik oleh Cameron et al. (2010) dan Prosedur Pengidentifikasian Metafora (PPM) oleh Kumpulan Pragglejaz (2007). Dengan membangunkan data korpus sendiri (DIY corpus), data lisan ditranskripsi untuk dianalisis secara mendalam. Kajian ini mendapati bahawa sebanyak 61% kata "rasa" yang ditemukan dalam data korpus menunjukkan rangkuman bahasa emosi dan perasaan seseorang. Kata "rasa" dalam data korpus dianalisis untuk melihat cara pesakit Major Depression Disorder (MDD) mengekspresikan emosi kesedihan, kekecewaan dan putus harapan yang disampaikan melalui ungkapan tersirat. Sebanyak 87% metafora linguistik mengkonseptualkan metafora kemurungan. Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa bahasa Melayu mempunyai set metafora yang sama dengan kajian lepas apabila metafora kemurungan yang telah diidentifikasikan sangat relevan dengan pemetaan metafora konseptual yang sedia ada, iaitu KEMURUNGAN IALAH KEJATUHAN, KEMURUNGAN IALAH SIMPTOM FIZIKAL, KEMURUNGAN IALAH BENDA, KEMURUNGAN IALAH BEBAN, KEMURUNGAN IALAH ORGANISMA HIDUP, KEMURUNGAN IALAH PERJALANAN dan KEMURUNGAN IALAH PEPERANGAN. Gabungan metafora sistematik juga dapat membingkaikan pemikiran pesakit kemurungan dan masyarakat sekeliling sehingga membentuk satu set metafora sistematik, iaitu PERSEPSI PESAKIT MENTAL TERHADAP STIGMA MASYARAKAT IALAH PERSEPSI NEGATIF TERHADAP ISLAM.


Jurnal Bahasa ◽  
2021 ◽  
Vol 21 (2) ◽  
pp. 193-216
Author(s):  
Mohd Tarmizi Hasrah ◽  
Mohammad Khairulanwar Abdul Ghani

Berdasarkan fakta, dialek di kawasan pedalaman memiliki sistem linguistik yang berbeza dengan sistem linguistik di kawasan bandar dan pekan. Salah satu dialek di kawasan pedalaman yang ditanggapi memiliki kelainan yang dimaksudkan ialah dialek Melayu yang dituturkan di daerah Baling, Kedah. Artikel ini bertujuan memaparkan pemerian sistem fonologi dialek Melayu tersebut dengan tumpuan terhadap pemerian fonem dan analisis beberapa ciri fonologi bagi mengesahkan dakwaan kelainannya. Pemerian fonem dilakukan berdasarkan kaedah yang ditetapkan dalam Basic Linguistic Theory; manakala analisis ciri fonologi pula dikerjakan dengan menerapkan kerangka dialektologi diakronik yang memfokuskan pemerian, perbandingan dan pengelompokan. Kewujudan konsonan [É£] dan proses fonologi seperti penyatuan nasal BMP *-am kepada [-an], penyatuan diftong BMP *-aw dan *-ay kepada [É”] selain pengekalan BMP *É£ di awal dan di antara vokal dan penggugurannya di akhir yang mengubah nilai vokal sebelumnya jelas menunjukkan bahawa dialek Melayu di Baling memerlukan kelihan yang berbeza daripada tanggapan pengkaji lepas. Kelihan yang dimaksudkan menegaskan bahawa dialek tersebut wajar dianggap sebagai dialek tersendiri yang memerlukan nomenklatur dan pengelompokan baharu daripada hanya sekadar dikelompokkan di bawah subdialek Melayu Kedah. Implikasi penemuan seperti ini secara tidak langsung menolak perspektif umum tentang pengelompokan dialek Melayu Semenanjung yang masih melihat kewujudan dialek tersendiri dalam sesebuah negeri dianggap sebagai "subdialek" kepada dialek negeri berkenaan.


Jurnal Bahasa ◽  
2021 ◽  
Vol 21 (2) ◽  
pp. 217-240
Author(s):  
Kee Man Chuah ◽  
Niniefadzillea Iswandi

Pertambahan pengguna Facebook yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat telah menjadikan Facebook salah satu medium sumber maklumat utama dalam media sosial. Hantaran yang mendapat banyak perhatian dalam kalangan pengguna Facebook ini telah mencipta fenomena yang dikenali sebagai penularan, iaitu hantaran yang dikongsikan dengan puluhan ribu pengguna dalam tempoh masa yang singkat dan dengan cara yang lebih cepat berbanding media arus perdana. Kajian lepas telah meneliti hantaran yang tular dalam bidang perniagaan dan kebanyakan hantaran tersebut ditulis dalam bahasa Inggeris. Kajian ini pula bertujuan untuk menganalisis hantaran bahasa Melayu di Facebook yang tular dari aspek kandungan dan struktur linguistik. Melalui kaedah analisis teks, kajian ini melibatkan 100 hantaran Facebook merangkumi pelbagai topik yang telah tular dengan saiz korpus kira-kira 10,000 patah perkataan. Kajian ini merakamkan kandungan dan atribut bahasa setiap hantaran dalam jadual. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tema utama kandungan hantaran yang tular berunsur nasihat yang berkaitan dengan topik keluarga. Bagi atribut linguistik pula, kekerapan penggunaan kata ganti nama diri adalah sangat tinggi dan dari segi gaya penulisan didapati bahawa penghujahan dan penceritaan ialah gaya penulisan yang paling popular dalam hantaran yang tular. Oleh itu, kajian ini memberikan input kepada penyedia kandungan yang bergiat aktif di media sosial untuk menghasilkan kandungan yang boleh menjangkau lebih ramai pengguna.


Jurnal Bahasa ◽  
2021 ◽  
Vol 21 (2) ◽  
pp. 325-352
Author(s):  
Siti Nur Adibah Sabarudin ◽  
Aminnudin Saimon

Kajian ini berfokuskan analisis lakuan pertuturan Searle (1969) dalam video infografik COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Secara umumnya, kajian ini dilakukan untuk menganalisis lakuan pertuturan yang digunakan oleh KKM dalam video infografik. Lakuan pertuturan yang telah dikenal pasti dianalisis berdasarkan Teori Lakuan Pertuturan Searle (1969). Teori ini mengetengahkan lima lakuan, iaitu asertif, ekspresif, direktif, komisif dan deklaratif. Kaedah kajian yang digunakan oleh pengkaji ialah kaedah kualitatif. Dalam kajian ini pengkaji menggunakan analisis kandungan teks sebagai kaedah kajian. Hasil kajian mendapati terdapat sebanyak 129 lakuan pertuturan yang merangkumi kelima-lima lakuan pertuturan Searle (1969). Daripada jumlah lakuan pertuturan tersebut, lakuan pertuturan direktif merupakan lakuan yang paling dominan dan paling kerap digunakan, iaitu sebanyak 67 kekerapan, diikuti oleh lakuan pertuturan asertif sebanyak 51 kekerapan. Seterusnya, lakuan ketiga yang kerap digunakan ialah lakuan pertuturan ekspresif, iaitu sebanyak 6 kekerapan. Lakuan pertuturan komisif dan deklaratif merupakan lakuan yang paling kurang digunakan dalam video infografik COVID-19, iaitu sebanyak 4 dan 1 kekerapan. Dapatan ini menunjukkan lakuan direktif paling dominan kerana matlamat video infografik adalah untuk menyampaikan maklumat berdasarkan arahan daripada Perdana Menteri dan KKM. Penggunaan Teori Lakuan Pertuturan Searle (1969) amat bersesuaian bagi memperlihatkan hubungan komunikasi antara penutur dengan pendengar untuk memahami dengan lebih jelas makna hajat komunikatif penutur. Oleh yang demikian, keberkesanan maklumat yang disampaikan dapat memberikan impak yang positif kepada negara dan masyarakat.


Jurnal Bahasa ◽  
2021 ◽  
Vol 21 (2) ◽  
pp. 305-324
Author(s):  
Badriyah Yusof

Subjek merupakan salah satu konsep teras dalam ilmu linguistik Melayu kerana kepentingan kedudukannya untuk menentukan makna dan fungsi sesebuah binaan ayat. Subjek bukan saja merupakan unsur wajib yang menentukan hala tuju penceritaan yang ingin disampaikan tetapi juga melengkapkan binaan sintagmatik yang didasari kerangka sistem sesebuah bahasa. Dalam pembelajaran bahasa Melayu, proses identifikasi subjek ini seringkali dianggap rumit oleh pelajar khususnya pada peringkat menengah dan pengajian tinggi. Selaras dengan perkembangan tatabahasa bahasa Melayu, pengkajian terhadap subjek telah melalui transformasi dan integrasi beberapa pendekatan asing yang menggunakan kerangka sistem tatabahasa yang berbeza. Artikel ini bertujuan untuk menghuraikan secara ringkas pengenalpastian konsep subjek dalam kerangka sistem tatabahasa bahasa Melayu serta elemen-elemen yang menentukannya. Dengan menggunakan pengkaedahan kontrastif dari segi konseptualisasi dan subteori ilmu logik dan nahuan, beberapa varian ayat diketengahkan bagi memperlihatkan binaan yang meskipun mempunyai makna keseluruhan yang hampir sama, namun boleh ditanggapi secara sistematik dan berbeza. Daripada penelitian artikel ini didapati bahawa tidak seperti subjek nahuan, subjek logik bagi struktur ayat bahasa Melayu tidak semestinya terdiri daripada FN. Dapatan artikel ini juga memperlihatkan bahawa subjek nahuan bukan merupakan unsur wajib dalam bahasa Melayu. Dari segi kepentingan kajian, artikel ini diharapkan agar dapat membuka ruang untuk kajian lanjutan di samping sebagai pendekatan alternatif dalam pengajaran bahasa Melayu pada semua peringkat.


Jurnal Bahasa ◽  
2021 ◽  
Vol 21 (2) ◽  
pp. 163-192
Author(s):  
Fazal Mohamed Mohamed Sultan ◽  
Siti Amanina Sahira Saidi

Artikel ini merupakan kajian terhadap kata kerja dalam bahasa Bajau Darat dan Bajau Laut oleh penutur natif bahasa Bajau Darat di Kampung Keguraan, Kota Belud dan Bajau Laut di Kampung Tanjung Kapur, Kudat, Sabah. Bahasa Bajau merupakan bahasa ibunda kepada kaum Bajau di Sabah. Objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti, menghuraikan dan menganalisis jenis kata kerja bahasa Bajau dengan menggunakan kerangka Minimalis. Kaedah kajian yang digunakan merangkumi kaedah lapangan, iaitu temu bual, rakaman, pemerhatian dan kaedah analisis data menggunakan kerangka Minimalis. Seramai enam orang responden yang ditemu bual terdiri daripada tiga orang penutur natif bahasa Bajau Darat dan tiga orang penutur natif bahasa Bajau Laut. Rakaman perbualan setiap responden dan perbualan tersebut ditranskripsi serta dianalisis oleh pengkaji. Analisis ini memberikan tumpuan pada kedudukan kata kerja dalam bahasa Bajau Darat dan Bajau Laut. Hasil kajian mendapati bahawa kata kerja bahasa Bajau Darat dan Bajau Laut mempunyai kala. Kata kerja bahasa Bajau Darat dan Bajau Laut yang dituturkan di Sabah pula boleh terdiri daripada kata kerja transitif, kata kerja tak transitif dan kata kerja dwitransitif. Kajian ini juga mendapati bahawa struktur asas ayat bahasa Bajau Darat dan Bajau Laut ialah KERJAAN-OBJEK-SUBJEK (KOS). Berdasarkan pendekatan kerangka Minimalis, kajian ini menjumpai tiga penemuan. Pertama, kewujudan satu posisi yang novel, iaitu FObjek untuk memenuhi urutan KOS dalam bahasa ini, kedua, kata kerja dalam bahasa ini menduduki posisi cantuman kepala Kala dan ketiga, wujudnya operator kosong (OP) untuk menandakan kewujudan subjek dalam semua ayat Bajau.


Jurnal Bahasa ◽  
2021 ◽  
Vol 21 (2) ◽  
pp. 273-304
Author(s):  
Mohd Khaidir Abdul Wahab ◽  
Adi Kasman Che Halin

Bahasa Banjar merupakan bahasa Austronesia yang dituturkan oleh suku Banjar di Kalimantan, Indonesia sebagai bahasa ibunda. Bahasa Banjar dihipotesiskan sebagai bahasa proto-Malayik sama seperti bahasa Minangkabau, bahasa Melayu dan bahasa Iban. Kajian ini meneliti hubungan kekerabatan antara bahasa Banjar dengan bahasa Melayu dengan cara menyenaraikan kosa kata dasar kedua-dua bahasa ini melalui penggunaan kaedah perbandingan leksikostatistik dan penerapan kaedah glotokronologi. Melalui kaedah ini, kadar peratusan kata berkerabat dapat ditentukan dengan cara menghitung jumlah kata berkognat melalui penelitian unsur retensi dan unsur inovasi. Tinjauan dan penyenaraian kosa kata asas bahasa ini memanfaatkan senarai 200 kata Morris Swadesh. Daripada 195 kosa kata dasar yang dibandingkan, terdapat sebanyak 158 atau 81% peratus kosa kata dasar bahasa Banjar yang berkognat dengan bahasa Melayu. Peratus kekerabatan ini memperlihatkan bahawa bahasa Banjar dan bahasa Melayu berada pada tingkat kekerabatan bahasa. Abad atau tahun pisah kedua-dua bahasa ini dari tahun 2021 diandaikan antara abad ke-15M hingga abad ke-17M atau 1440 hingga 1602 tahun yang lalu. Walaupun hubungan kekerabatan bahasa Banjar dengan bahasa Melayu sangat rapat, iaitu berada dalam tingkat kekerabatan bahasa, orang Melayu tidak dapat memahami bahasa Banjar kecuali dengan mempelajarinya. Dapatan kajian membuktikan bahawa kaedah leksikostatistik dan penerapan rumus glotokronologi yang telah disarankan oleh Lees (Lehman, 1973: 105) dan Gudschinsky (1964: 618) dalam menentukan abad pisah bahasa Austonesia adalah satu kaedah yang relevan dan bersesuaian dalam menghuraikan secara sistematik salasilah hipotetikal bahasa berdasarkan usia yang dikemukakan oleh Asmah (2008: 3) dan pengkaji-pengkaji tempatan yang lain.


Jurnal Bahasa ◽  
2021 ◽  
Vol 21 (1) ◽  
pp. 41-66
Author(s):  
Mohamad Rozi Kasim ◽  
Keyword(s):  

Kajian ini membincangkan bahasa Jakun yang dituturkan oleh masyarakat orang asli Jakun. Objektif kajian ini adalah untuk membandingkan kosa kata dasar dan menentukan tingkat kekerabatan antara bahasa Jakun dengan bahasa Melayu purba. Kajian menggunakan teori leksikostatistik yang disarankan oleh Swadesh (1955) dan kaedah kualitatif deskriptif untuk menghuraikan data yang diperoleh di lapangan. Data kosa kata dasar diperoleh dengan menggunakan senarai 200 kosa kata dasar Swadesh (1955). Hasil kajian menunjukkan bahawa hubungan bahasa Jakun ini dengan bahasa Melayu purba adalah pada peringkat keluarga bahasa. Kajian ini menolak kenyataan Carey (1976) yang menganggap bahasa Jakun kini sudah hilang sifat keasliannya dan meminjam kosa kata bahasa Melayu sahaja. Kajian ini mendapati bahawa bahasa Jakun tidak meminjam bahasa Melayu tetapi bahasa Jakun merupakan salah satu cabang daripada bahasa induk, iaitu bahasa Melayu purba. Kesimpulannya, hasil kajian ini diharapkan dapat menjadi titik tolak kepada kajian yang lebih banyak terhadap bahasa Jakun di tempat lain dan bahasa-bahasa orang asli yang lain.


Jurnal Bahasa ◽  
2021 ◽  
Vol 21 (1) ◽  
pp. 67-88
Author(s):  
Nor Hashimah Jalaluddin ◽  
◽  
Wan Athirah Adilah Wan Halim

Kajian ini bertujuan menghuraikan penyebaran Kata Ganti Nama (KGN) dialek Melayu Terengganu khususnya berdasarkan analisis geolinguistik. Usaha ini menyumbangkan penelitian terhadap warisan dialek Melayu dengan memberikan huraian KGN secara tuntas. Kajian ini memanfaatkan kemajuan teknologi Geographic Information System (GIS) bagi membantu menghuraikan penyebaran dialek ini dengan mensinergikan faktor linguistik dan bukan linguistik. Seramai 500 orang yang terdiri daripada warga tua, dewasa dan remaja telah dipilih sebagai responden. Kaedah penyelidikan menggunakan soal selidik dan temu ramah bagi mendapatkan sebutan responden yang tepat. Kesemua data yang ditranskripsi dirakamkan dalam MsExcel sebelum dimasukkan dalam ArcGis bagi mendapatkan peta taburannya. Dapatan kajian menunjukkan wujud pengaruh dialek Kelantan di Terengganu di samping keunikan KGN di Hulu Terengganu. Pemetaan menggunakan koroplet menghasilkan peta yang jelas titik isoglos untuk penggunaan KGN yang dikaji. Kajian menggunakan GIS terbukti memberikan impak positif kepada kajian dialek dan seterusnya menjadikan kajian ini lebih dinamik dan saintifik.


Jurnal Bahasa ◽  
2021 ◽  
Vol 21 (1) ◽  
pp. 89-104
Author(s):  
Nur Adlina Ahmad Azmi ◽  
◽  
Zaitul Azma Zainon Hamzah ◽  
Mohd Izhar Ahmad Azmi

Bukti Perundangan Niat Jenayah ialah penyiasatan terperinci tentang bukti niat jahat seseorang yang tertuduh. Dalam perbicaraan mahkamah, hakim, pihak pendakwaan dan peguam bela akan menggunakan bahasa lindung nilai atau bahasa berhati-hati untuk mendapatkan keterangan daripada tertuduh atau saksi yang boleh membantu untuk menganalisis niat tertuduh. Artikel ini membincangkan penggunaan bahasa lindung nilai oleh pihak perundangan mahkamah dalam mendapatkan keterangan daripada tertuduh dan saksi untuk tujuan menganalisis niat tertuduh dalam perbicaraan mahkamah. Kajian kes ini menggunakan Prinsip Kerjasama Grice (1975) untuk menganalisis data soal-balas antara pihak pendakwaan, saksi pihak pendakwa dan peguam bela. Hasil kajian mendapati bahawa penggunaan bahasa lindung nilai atau bahasa berhati-hati dalam perbicaraan mahkamah adalah ketika pihak penghakiman dan saksi pendakwa memberikan keterangan maklum balas kepada pihak perundangan mahkamah. Kedua-dua pihak menggunakan bahasa lindung nilai untuk memberikan tindak balas secara sopan. Kajian juga mendapati bahawa penggunaan bahasa lindung nilai mempunyai sumbangan dalam memberikan makna keterangan, sekali gus dapat diklasifikasikan sebagai proposisi dalam penghujahan pihak perundangan mahkamah dan memperlihatkan pematuhan dari segi maksim kuantiti, maksim kualiti, maksim hubungan dan maksim cara. Dapatan ini juga turut menonjolkan tindak balas sopan oleh pihak pendakwaan, peguam bela dan saksi pendakwa kepada hakim.


Sign in / Sign up

Export Citation Format

Share Document