Vitaliti Semasa Bahasa Melayu di Negara Brunei Darussalam
Perdebatan mengenai “pertelingkahan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris” sentiasa wujud di alam Melayu. Walaupun bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi/bahasa kebangsaan dan juga bahasa penanda budaya dan identiti orang Melayu, masih terdapat kekhuatiran terhadap kemungkinan kepupusan bahasa tersebut dalam kalangan para sarjana dan masyarakat Melayu. Perkara ini terjadi kerana peningkatan kepentingan bahasa Inggeris dalam era globalisasi. Dengan mengaplikasikan Model Sikap Bahasa dan metode Skala Penilaian Gangguan Antara Generasi Luasan serta Rangka Kerja Keberdayaan dan Kepupusan Bahasa, makalah ini membincangkan sikap bahasa dan daya hidup semasa bagi dua variasi bahasa Melayu iaitu bahasa Melayu standard dan bahasa Melayu Brunei dalam persekitaran dwibahasa di Negara Brunei Darussalam, berdasarkan bukti-bukti kajian analisis terhadap penutur bahasa Melayu Brunei dan tanggapan beberapa sarjana bahasa Melayu. Hasil analisis mendapati sikap para belia terhadap kedua-dua variasi bahasa adalah positif dan kewujudan dilestarikan melalui usaha-usaha penyelenggaraan setempat, selain kedua-dua variasi bahasa ini saling melengkapi dengan bahasa Inggeris mengikut kesesuaian konteks dan audiens. Makalah ini turut menyangkal tanggapan yang menyatakan kedudukan dan daya hidup semasa bahasa Melayu terancam, selain turut menyanggah dakwaan kewujudan bahasa Inggeris mengancam status dan pengekalan bahasa Melayu.