Model Perkongsian Pengetahuan dalam Organisasi Sektor Swasta di Malaysia dan Hubungannya dengan Inovasi dan Prestasi Organisasi
Perkongsian pengetahuan merupakan kesediaan pekerja untuk menyumbang dan kemampuan beliau untuk mengumpul pengetahuan daripada pekerja lain dalam organisasi. Kajian lepas mendapati perkongsian pengetahuan yang berjaya akan menggalak inovasi pekerja dan meningkatkan prestasi organisasi. Namun, terdapat pelbagai halangan dalam perkongsian pengetahuan seperti faktor manusia dan teknologi. Matlamat kajian ini adalah untuk membina dan mengesahkan model perkongsian pengetahuan sektor swasta (MPS) yang menggabung dua pendekatan utama iaitu pendekatan teknikal dan bukan teknikal. Kajian ini bertujuan untuk memeriksa pengaruh individu, organisasi dan teknologi terhadap amalan perkongsian pengetahuan di kalangan pekerja serta hubungannya dengan inovasi dan prestasi organisasi. Tiga teori yang menyokong pembinaan model MPS bagi memeriksa tiga faktor pengaruh adalah Social Capital Theory, Institutional Theory dan Adaptive Structuration Theory. Kajian ini menggunakan kaedah kuantitatif dengan teknik soal selidik dan kaedah kualitatif dengan teknik temu bual. Data dianalisis menggunakan SPSS bagi analisis deskriptif dan demografi, manakala model disahkan mengguna Structural Equation Modelling. Kajian mendapati pengaruh individu; ‘berkongsi visi dan matlamat’ dan ‘kepercayaan antara pekerja’, pengaruh organisasi; ‘tugas saling bergantungan’ dan ‘sokongan pengurusan atasan’ dan pengaruh teknologi; ‘kesetiaan’ menggunakan sistem pengurusan pengetahuan mempengaruhi amalan perkongsian pengetahuan. Seterusnya, amalan perkongsian pengetahuan mempunyai hubungan yang signifikan dengan inovasi dan inovasi mempunyai hubungan yang signifikan ke atas prestasi organisasi.