Sikap Bahasa dan Pemertahanan Identiti Komuniti Sempadan di Kampung Telok Melano, Malaysia dan Desa Temajuk, Indonesia: Satu Tinjauan Awal
Kajian ini meneliti sikap bahasa dan pemertahanan identiti komuniti sempadan di Kampung Telok Melano, Lundu (Sarawak, Malaysia) dan Desa Temajuk, Sambas (Kalimantan Barat, Indonesia). Objektif khusus kajian adalah untuk meninjau sikap bahasa dan penjelmaan identiti melalui bahasa, yang akhirnya membentuk dua identiti yang berbeza. Pengumpulan data kajian berasaskan pendekatan kualitatif iaitu melalui rakaman perbualan, wawancara dan pemerhatian ikut serta. Dalam kajian awal ini, seramai 12 orang informan iaitu 6 orang dari Kampung Telok Melano dan 6 orang dari Desa Temajuk telah dipilih berdasarkan kaedah pensampelan kuota. Soalan wawancara dirangka mengikut beberapa domain daripada tiga ciri sikap bahasa yang dikemukakan oleh Garvin & Mathiot (1968) iaitu kesetiaan bahasa, kebanggaan bahasa dan kesedaran akan norma bahasa. Dapatan kajian menunjukkan kesetiaan bahasa, kebanggaan bahasa dan kesedaran akan norma bahasa, khususnya terhadap bahasa ibunda dan bahasa kebangsaan adalah tinggi dalam kalangan kedua-dua komuniti yang dikaji. Dari aspek pemertahanan identiti, kajian mendapati masyarakat di Kampung Telok Melano yang asalnya beridentitikan ‘Melayu Sambas’, telah beralih menjadi ‘Melayu Sarawak’ sejak pembentukan Malaysia pada tahun 1963. Kajian awal ini telah menyediakan asas penyelidikan untuk kajian lanjutan pada masa hadapan berkaitan dengan isu bahasa dan identiti masyarakat sempadan di bahagian barat daya Sarawak. [This study emphasises on the language attitude and the defence of the border community identity at Kampung Telok Melano, Lundu (Sarawak, Malaysia) and Desa Temajuk, Sambas (Kalimantan Barat, Indonesia). The primary objective of the study is to observe the language attitude and the creation of an identity through language to form two distinct different identities. The collection of data for the study is based on a qualitative approach through recorded conversations, interviews, and participant observations. In this preliminary observation, a total of 12 informants where 6 people from Kampung Telok Melano and another 6 people from Desa Temajuk were selected based on the quota sampling method. Interview questions were framed according to a few domains based on the three characteristics of language attitude proposed by Garvin and Mathiot (1968) which are language loyalty, language pride and awareness of the norms. The findings of this study indicated that the language loyalty and awareness of the norms specifically towards the mother tongue and national language are high in these two communities. In the aspect of defence of the border community identity, the study had found that the Kampung Telok Melano community original identity were Sambas Malays who had since shifted to Sarawak Malays since the formation of Malaysia in 1963. This preliminary study had prepared the basis for further studies related to language issues and the identity of the border communities at the southwestern region of Sarawak.]